Kenyataan Media Pemuda PAS Johor Bahru TPPA

Rakyat perlu tahu hal sebenar Rundingan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) yang dilakukan secara rahsia daripada pengetahuan rakyat telah mencapai kata sepakat di antara 12 buah negara di mana Malaysia adalah salah satu daripadanya. Hanya satu sahaja lagi proses yang tinggal iaitu mendapat kelulusan di peringkat parlimen untuk menandatangani perjanjian tersebut. Walau pun berhadapan dengan pelbagai hujah dan pandangan balas daripada pelbagai pihak yang rata-ratanya tidak menyokong malah membantah perjanjian ini, kerajaan yang dipimpin UMNO-Barisan Nasional tetap berdegil atas pendirian mereka untuk terus bersama-sama di dalam perjanjian ini. Kebimbangan ini sangat berasas memandangkan beberapa klausa yang dilihat memberikan kesan negatif yang sangat besar kepada rakyat dan negara. Ditambah lagi dengan kelemahan kerajaan di bawah pimpinan DS Najib Tun Razak yang terpalit dengan siri demi siri pendedahan kebobrokan dan skandal berprofil tinggi yang mencabut kepercayaan rakyat kepada kerajaan sekarang.

Belajarlah daripada pengalaman Mexico yang telah melalui kesan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), iaitu perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang hampir serupa dengan TPPA yang ditandatangani oleh negara Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat (AS). Akibat berjanjian ini, Mexico berdepan dengan 14 kes saman bernilai berbilion ringgit daripada pelabur luar yang difailkan di bawah Bab 11 dalam NAFTA, iaitu peruntukan untuk melindungi pelabur luar dan memudahkan penyelesaian dalam pertelingkahan pelaburan. Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah perjanjian ini dilihat sebagai suatu bentuk neo-kolonialisme oleh AS yang akan menjerut kita akhirnya.

Persoalan mengapa perjanjian yang melibatkan 12 buah negara ini secara dasarnya dirangka oleh AS sahaja sudah cukup membenarkan perkara ini. Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru mendesak agar kerajaan secara telus dan komprehensif mendedahkan isi kandungan perjanjian TPPA ini dalam siri-siri penerangan mereka dan mengemaskini dengan penuh jujur analisa kos dan manfaat kepada rakyat. Kami juga mendesak ahli parlimen, khususnya ahli parlimen dari Johor untuk menolak perjanjian TPPA ini selagi mana rakyat tidak diberikan kefahaman yang sebenarnya mengenai perkara ini.

Ingat, wakil rakyat diberi mandat oleh rakyat untuk menjaga kepentingan negara,bukan menggadaikannya demi kepentingan tembolok sendiri. Kami juga mengingatkan agar kerajaan sekarang tidak lagi berterusan membuat keputusan sesuka hati tanpa mengambil kira pandangan dan kehendak rakyat. Cukuplah dengan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan sebelum ini yang telah membakul sampahkan pandangan dan kebimbangan rakyat, yang akhirnya terbukti membebankan dan menyepit rakyat. Kami juga menyeru seluruh rakyat untuk terus-menerus mendesak kerajaan untuk bersikap jujur di dalam hal ini dan membantahnya sekiranya terbukti benar-benar merugikan Malaysia sebagai negara anggota. Teruskan berdoa agar Allah memberikan kebaikan untuk seluruh rakyat Malaysia dan menjatuhkan pemimpin yang zalim. Selamatkan Malaysia.

Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru


Sumber :



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi PAS Kawasan Johor Bahru. Semua artikel di sini adalah hak mutlak PAS Kawasan Johor Bahru, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Pas Kawasan Johor Bahru dan juga ehsan dari Google. PAS Kawasan Johor Bahru tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
© 1434 / 2013 Hakcipta Tak Terpelihara. Diselenggara oleh PAS Kawasan Johor Bahru.