Lawatan Pemuda ke Indonesia sempena Pemilu 2014

Baru-baru ini Dewan Pemuda PAS Negeri Johor telahpun mengadakan lawatan kerja dan kunjungan hormat ke Indonesia sempena Pilihanraya Umum Indonesia (PEMILU 2014), rombongan  ini telah memilih Kepulauan Riau dan Sumatera Barat yang berbetulan sangat dekat dari sudut geografi negeri Johor dalam usaha mengambil pengalaman Partai Keadilan Sejahtera (PKS) sekaligus memerhatikan perjalanan pilihanraya yang cukup baik pasca reformasi Indonesia 1998.

Rombongan ini telah diketuai sendiri oleh Saudara Shamsul Bakri selaku Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor diikuti Saudara Mahadir Mat Zili Setiausaha Dewan Pemuda, Saudara Zuhan selaku Bendahari Dewan Pemuda, Saudara Eddy Izwan Musa selaku Timbalan Pengarah 2 Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda, Saudara Mohd Ariff Mt Hassan selaku Ketua Dewan Pemuda Johor Bahru, Saudara Juwahir Amin Ketua Pemuda PAS Kulaijaya dan beberapa orang lagi ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Johor Bahru.

Rombongan ini bertolak dari JB Sentral dengan transit melalui Singapura dan tiba di Terminal Batam Center jam 11.00 pagi, di sana kami disambut oleh mantan Adun Kota Solok Saudara Johansis Pedro dan terus di bawa ke pusat pungutan suara (pengundian) sekitar Kota Batam, disana kami dibawa melihat sendiri perjalanan pilihanraya yang cukup aman dan santai ditempat terbuka disaksikan oleh penduduk sekitar dan pengundi tanpa kawalan ketat dari pihak polis, kelihatannya suasana yang cukup harmonis ini menggambarkan rakyat sendiri menjadi saksi ketelusan perjalanan pilihanraya itu sendiri.

Kami dimaklumkan pusat pengundian dibuka seawal jam 08.00 pagi dan ditutup pada jam 01.00 tengahari, kedatangan kami di sambut mesra penduduk sekitar dan petugas di tempat pungutan suara yang mengalu-alukan kedatangan kami dengan membenarkan kami meninjau dan mengambil gambar di pusat pungutan suara.

Kami juga menyaksikan sendiri kertas undi sebesar saiz surat khabar yang memaparkan gambar calon dan logo parti yang bertanding dan kaedah memilih secara coblos menggunakan paku ke atas kertas undi dan  berpeluang juga melihat kiraan kertas undi yang juga dilakukan secara terbuka.

Sementara menantikan proses kiraan selesai kami dibawa ke Markas Induk Partai Keadilan Sejahtera bagi Kepulauan Riau yang berpusat di Kota Batam lalu dipertemukan dengan Uztaz Abdul Rahman LC selaku Pesuruhjaya (Dewan Pengurus Wilayah PKS Kepulauan Riau). Di sana kami berbincang secara serius dengan  saling bertukar pandangan dan pendapat tentang proses  perjalanan Pemilu dan hala tuju perjuangan Islam di negara masing-masing.

Kami dibenarkan menginap di Markas  Ikatan Daei Indonesia (Ikadi) di Batu Aji yang menjadi ngo dan tulang belakang kepada PKS dalam melahirkan kader-kader dan pendokong parti, kami juga berpeluang melihat sendiri pusat pengumpulan data keputusan pilihanraya yang masuk satu persatu.

Perjalanan kami seterusnya ialah dengan menaiki pesawat terus ke Bandara Udara Minangkabau di Kota Padang, Sumatera Barat lalu di bawa makan malam bersama Ustaz Mahyeldi Ansharullah SP, Ahli Majlis Syura PKS yang juga Wali Kota (Dato Bandar) Kota Padang yang baru sahaja diisytiharkan menang dalam pilihanraya.  Kami juga turut bertukar-tukar pandangan tentang perjalanan parti politik masing-masing.

Kami bermalam di kawasan pergunungan Solok yang cukup indah dengan pemandangan banjaran, gunung berapi , sawah yang luas mata memandang dan pemandangan Tasik Kembar, Tasik Maninjau dan Tasik Singkarak. Tidak dilupakan ziarah ke rumah kelahiran ulama tersohor nusantara Almarhum Profesor Hamka di Maninjau menyusuri tepian Tasik Singkarak dan laluan berliku Kelok 44 yang cukup mencabar.

Perjalanan ini juga kami ambil kesempatan dengan bertemu lagi dengan beberapa pimpinan,  kader PKS dan melawat lagi beberapa buah markas PKS  Kota Solok, PKS Kabupaten Solok dan PKS Bukit Tinggi. Biarpun mendapat berita duka dengan kekalahan PKS untuk menempatkan diri di 4 kelompok teratas kami tetap di beri layanan mesra.  Perasaan ukhuwah Islamiyah atas tanggungjawab berjuang atas landasan Islam walau berada di manapun membuatkan kami juga merasakan apa yang di rasakan oleh sahabat-sahabat kami di Indonesia.


Sumber :



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi PAS Kawasan Johor Bahru. Semua artikel di sini adalah hak mutlak PAS Kawasan Johor Bahru, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Pas Kawasan Johor Bahru dan juga ehsan dari Google. PAS Kawasan Johor Bahru tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
© 1434 / 2013 Hakcipta Tak Terpelihara. Diselenggara oleh PAS Kawasan Johor Bahru.