Mahasiswa UiTM, Ubah!

Ramai yang menyangka mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu sifatnya pasif dan 'lemau' di dalam sudut pengetahuan isu-isu semasa terutamanya isu yang melibatkan politik dan tadbir urus negara. Apabila sebut sahaja UiTM, kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan UiTM ini universiti United Malay National Organization. Bagaikan isi dengan kuku, berpisah tiada. Mahasiswa UiTM hari ini, tidak lagi seperti zaman Mat Sabu dan Ibrahim Ali di mana sewaktu zaman mahasiswa mereka, lantang menyatakan hak dan menentang kezaliman pemerintah. Sangkaan ramai itu mungkin ada benarnya. Hanya segelintir sahaja yang cakna dan sudi untuk menelaah isu-isu yang berlaku dalam negara ini. Bahkan isu melibatkan saudara kita yang ditindas di Palestin, Syira dan Rohingya pun ada diantara mereka yang tidak tahu. Hal ini berlaku kerana pelbagai program-program yang ada kaitan dengan United Malay National Organization kerap dianjurkan di sini, di setiap cawangan UiTM. Mahasiswa semester satu yang baru mendaftar dan barisan kepimpinan yang ada di UiTM kebiasaannya akan dihantar ke Biro Tata Negara di mana program ini bertujuan untuk 'basuh' minda pelajar supaya menjadi seorang mahasiswa yang taat setia kepada United Malay National Organization dan juga menanam rasa benci kepada kaum cina dan india. Saya sendiri telah menyertai Biro Tata Negara sebanyak dua kali. Sahabat saya yang dahulunya neutral tidak bersama-sama dengan mana-mana parti politik hari ini sudah menjadi OKU ataupun 'Orang Kuat UMNO'. Biro Tata Negara hakikatnya sebuah program yang baik untuk memupuk rasa cinta kepada negara, semangat patriotik dan semangat perpaduan namun hari ini telah disalah guna oleh United Malays National Organization. Bukan sekadar itu, program-program dan aktiviti-aktiviti yang ingin dianjurkan oleh mahasiswa perlu ditapis oleh Hal Ehwal Pelajar terlebih dahulu. Proses penapisan kertas kerja persatuan dan kelab berlaku dengan sangat tidak adil terutamanya melibatkan program yang berbentuk kerohanian dan ilmiah. Hal Ehwal Pelajar tentu dan pasti akan perhati, meneliti dan menyelidik sedalam-dalamnya siapakah penceramah yang bakal dijemput. Biodata penceramah perlu diserahkan terlebih dahulu. Sekiranya didapati penceramah itu ada sedikit unsur-unsur yang boleh dikaitkan dengan mana-mana parti pembangkang, maka akan terbatal-lah program itu atau diarahkan untuk mencari penceramah lain. Sudah banyak kali berlaku, sahabat saya menganjurkan program dakwah dengan menjemput saudara Sham Kamikaze lalu permohonan beliau terbatal kerana kononnya Hal Ehwal Pelajar dapati penceramah yang dijemput ada kaitan dengan Parti Islam Se-Malaysia. Pengalaman seorang sahabat lagi, Nabilah daripada UiTM Cawangan Machang merupakan ketua projek bagi program 'Cinta Remaja' dan penceramahnya adalah novelis terkenal saudara Hilal Ashraf juga ditolak kerana alasan Hal Ehwal Pelajar penceramah itu ada kaitan dengan pembangkang. Tetapi hal sebegini ini tidak berlaku kepada persatuan yang pro aspirasi atau senang kata pro kepada kerajaan. Salah satu contoh terdekat adalah persatuan KARISMA JASA. Mereka boleh menjemput siapa sahaja pemimpin dan ustaz daripada United Malay National Organization untuk menyampaikan ceramah. Di UiTM Induk Shah Alam dan UiTM Cawangan Jengka, Ustaz Fathul Bari mendapat lesen daripada pihak pengurusan untuk masuk dan memberi ceramah. Di UiTM Cawangan Segamat pula, Forum Hudud diluluskan atas nama akademik. Percayalah, jika persatuan lain mahu anjurkan program penerangan Hudud dan menjemput pemimpin atau ulama daripada PAS, pasti akan ditolak mentah-mentah oleh Hal Ehwal Pelajar atas alasan 'mahasiswa tidak boleh berpolitik'. Jemput Ustaz Azhar Idrus? Lagi lah jangan bermimpi. Hal Ehwal Pelajar tidak sepatutnya bertindak sedemikian rupa, tindakan seperti ini tidak adil kepada mahasiswa sedangkan Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Chanselor UiTM pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, sesiapa sahaja daripada mana-mana parti politik dalam negara, luar negara tidak dibenarkan masuk UiTM bagi menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan Mahasiswa. Kenyataan yang dibuat oleh Naib Chanselor bertujuan untuk membersihkan mahasiswa UiTM daripada dipengaruhi oleh politikus-politikus di luar sana. Sebab itu program dakwah, program agama di UiTM tampak sedikit terbantut. Bahkan ada juga pemimpin mahasiswa, salah seorang daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar di UiTM yang mencadangkan kepada pihak pengurusan supaya menggubal sahsiah rupa diri yang sedia ada kepada yang lebih Islamik dengan tujuan agar dapat membendung siswi daripada memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan menjolok mata. Cadangan ini juga ditolak walaupun mahasiswa UiTM 90 peratus adalah Melayu Islam. Sekiranya mahasiswa mahu edar risalah Islam, makanya isi kandungan risalah perlu ditapis terlebih dahulu agar tidak menyentuh isu-isu politik. Tidak menyentuh soal hudud. Tidak menyentuh isu yang boleh dikaitkan dengan salah laku pemerintah. Maklumlah, United Malays National Organization tidak melaksanakan Islam sepenuhnya. Mereka takut. Orang lain mahu laksana Islam, dihalang dan ditentang habis-habisan. Seperti biasa, program-program menyanyi dan menari sangat mudah untuk diluluskan. Konsert, pertandingan menyanyi dan sewaktu dengannya sangat banyak dianjurkan di seluruh UiTM. Mahasiswa UiTM juga dihalang daripada menyertai apa-apa demonstrasi jalanan. Saudara Khalid Ismath daripada fakulti undang-undang UiTM Shah Alam digantung 3 semester kerana menyertai demonstrasi mansuh PTPTN tetapi didakwa atas dakwaan berpolitk dan memalukan nama UiTM. Saya hairan hanya saudara Khalid Ismath sahaja dikenakan tindakan, tetapi tidak mahasiswa lain. Bagaimana dengan mahasiswa yang menyertai demo 'We Love PM'? Mahasiswa yang menyertai Pehimpunan Agong United Malays National Organization? Bukankah mereka juga telah berkecimpung dalam aktiviti politik? Saya tidak hairan apabila mahasiswa anti-kerajaan dikenakan tindakan kerana UiTM sendiri banyak bekerjasama dengan United Malays National Organization apabila menganjurkan program atas nama program khidmat masyarakat. Begitulah ‘sebahagian’ cara United Malays National Organization menindas pemikiran mahasiswa UiTM. Saya rasa bertanggungjawab untuk tampil menceritakan kepada orang ramai sebahagian isu yang berlaku dalam UiTM dan ianya berdasarkan pengalaman 2 tahun saya menjadi salah seorang ahli daripada organisasi mahasiswa tertinggi dalam UiTM iaitu Majlis Perwakilan Pelajar. Tujuan tulisan ini dihasilkan bukan untuk memburukkan UiTM tetapi untuk menyedarkan masyarakat terutamanya mahasiswa UiTM itu sendiri.' Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa UiTM agar bangkit daripada lena dan mimpi ngeri ini. Buang istilah takut dalam diri kalian. Anda perlu sedar hak anda, hak untuk bersuara dan menyatakan pendapat walaupun ianya jauh berbeza dengan pendapat pemerintah. Kita perlu menghidupkan kembali sejarah mahasiswa ITM hebat zaman Mat Sabu dan Ibrahim Ali yang lantang menyatakan hak dan membantah kezaliman. Gunakan speaker corners sebaik mungkin untuk sebarkan berita yang benar, edar risalah dan anjurkan program yang beri manfaat kepada mahasiswa agar mahasiswa kembali sedar dan bangkit. Selagi mahasiswa UiTM tidur, selagi itulah mereka akan menindas pemikiran mahasiswa sekalian.
Sumber : Zuddin -Mantan MPP UiTM -Mahasiswa UiTM Machang-



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi PAS Kawasan Johor Bahru. Semua artikel di sini adalah hak mutlak PAS Kawasan Johor Bahru, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Pas Kawasan Johor Bahru dan juga ehsan dari Google. PAS Kawasan Johor Bahru tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
© 1434 / 2013 Hakcipta Tak Terpelihara. Diselenggara oleh PAS Kawasan Johor Bahru.