Penggunaan nama Allah tidak wajar disalah guna

Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu ini, seperti dalam kenyataan media saya pada 4 januari 2010 dan saya juga telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: "Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah" pada bulan januari 2010 yang lalu.

Kalimah "Allah" adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

Kalimah "Allah" tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Oleh itu pengganut Islam berbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

Walau bagaimanapun Islam tidak menghalang pengganut agama lain mengggunakan kalimah "allah" dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam dengan penjelasannya:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan sengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Par paderi, sami dan pemimpin ) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudia jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam." (Ali-imran:64)

PAS merasa sangat kesal terhadap Umno yang mewakili pihak Melayu Islam dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara kerana menjadikan kalimah Allah sebagai satu isu yang dipolemikkan sebebasnya oleh pihak media arus perdana dalam kempen politik pilihan raya, tanpa peduli terhadap salah faham dan ketegangan penduduk berbagai-bagai agama dalam masyarakat majmuk.

 

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

8 Januari 2012


Sumber :



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi PAS Kawasan Johor Bahru. Semua artikel di sini adalah hak mutlak PAS Kawasan Johor Bahru, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Pas Kawasan Johor Bahru dan juga ehsan dari Google. PAS Kawasan Johor Bahru tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
© 1434 / 2013 Hakcipta Tak Terpelihara. Diselenggara oleh PAS Kawasan Johor Bahru.