Cabaran Malaysia di Pulau Merambong & Pulau Nanas

Setelah berputih mata dengan kehilangan Pulau Batu Puteh ketangan Singa-Pura, kini tumpuan beralih pula ke Pulau Pisang yang sejarah rumah apinya hampir sama dengan Pulau Batu Puteh dan disebalik kisah Pulau Pisang kini muncul pula cerita berkenaan Pulau Merambong

Pulau Merambong

Pulau Merambong juga dikatakan antara lokasi yang amat strategik kerana ia terletak di tengah-tengah laluan perkapalan yang sibuk untuk ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), loji janakuasa Tanjung Bin dan Asia Petroleum Hub serta laluan ke kawasan industri Tuas di Singapura.

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan tindakan agresif bot-bot peronda pihak berkuasa Singapura yang sering menghalang nelayan Malaysia daripada menangkap ikan di kawasan terbabit terutamanya pada waktu malam.

Pulau Merambong yang tidak berpenghuni itu terletak berhampiran sempadan maritim Malaysia dan Singapura. Ia hanya terletak kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan bot dari Tuas, Singapura berbanding 30-45 minit dari Gelang Patah dengan 35 peratus kawasan pulau sahaja terdiri dari kawasan peruburan lama.

Sekitaran pulau ini juga terkenal sebagai kawasan rumput laut yang sesuai untuk makanan dan habitat dugong dan kuda laut, menjadikan terus kawasan ini sesuai dibangunkan sebagai tarikan pelancongan unik dinegara ini.

Sememangnya kawasan ini terkenal dengan lokasi memancing kerana banyaknya ikan-ikan yang tinggi nilainya. 

Pulau Nanas

Pulau Nanas terletak berhampiran Kg Pasir Putih, Pasir Gudang yang berkeluasan sekitar dua ekar juga terletak berhampiran dengan Pulau Ubin, Singapura adalah diantara pulau yang diidam-idamkan oleh Singapura.

AJK PAS Pusat Saudara Mazlan Aliman yang baru-baru ini bersama pimpinan PAS Kawasan Pasir Gudang dengan ditemani Tok Batin Telok Kabung Pasir Gudang, Moen Terewang telah menjalankan ekspidisi untuk meninjau disekitar pulau tersebut dan akhirnya mendapati sebahagian besar pulau ini telah musnah berikutan kegiatan memecah batu yang dijalankan di pulau ini kira-kira 10 tahun lalu.

Kerja-kerja memecah batu yang dilakukan selama empat tahun ini bagaimanapun sudah dihentikan beberapa tahun lalu. Kesan daripada kegiatan memecah batu di pulau ini menyebabkan terbentuknya sebuah tasik yang begitu luas di tengah-tengah pulau ini.

Persoalannya sekarang siapakah yang selama ini yang diberikan keizinan meneroka pulau tersebut sehingga dilaporkan tasik buatan tersebut sahaja sudah melangkaui kedalaman 100 meter.

Dasar Maritim Negara

Kerajaan harus mengambil serius dan bertindak segera dalam menggubal undang-undang maritim negara termasuklah hak-hak bertindih pulau-pulau yang bersempadan hampir dengan negara jiran demi mengelakkan tragedi kehilangan Pulau Batu Putih tidak berulang kembali.

Kegagalan kerajaan mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh ini sangat memalukan rakyat negara ini, sebaliknya, kejayaan Singapura merampas kedaulatan Pulau Batu Puteh ini menampakkan seolah-olah pemimpin negara ini begitu mudah diperlekeh begitu sahaja.


Sumber : Jundullah



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi PAS Kawasan Johor Bahru. Semua artikel di sini adalah hak mutlak PAS Kawasan Johor Bahru, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Pas Kawasan Johor Bahru dan juga ehsan dari Google. PAS Kawasan Johor Bahru tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
© 1434 / 2013 Hakcipta Tak Terpelihara. Diselenggara oleh PAS Kawasan Johor Bahru.