Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang - Tokoh Gerakan Islam Yang Hebat

Yang Berhormat Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang (lahir 20 Oktober 1947) merupakan Presiden Parti Islam se Malaysia (PAS) dan bekas Menteri Besar Terengganu. Beliau juga telah dikurniakan dengan gelaran "Dato' Seri Tuan Guru Haji" dan terkenal dikalangan anak muridnya dengan gelaran 'ayah chik'.

KEHIDUPAN AWAL

Lahir pada 6 Zulhijjah 1366H, di Kampung Rusila, Marang, Terengganu. Anak ke-5 dari 9 orang adik beradik. Ayahnya adalah seorang guru agama dan imam di Masjid Rusila, Marang

KELUARGA

Mempunyai dua orang isteri iaitu Puan Hajah Zainab bt. Awang dan Dr. Norzita Taat. Dikurniakan 13 orang anak. Dengan isteri pertama beliau mempunyai 11 orang anak manakala dengan isteri kedua, beliau mempunyai 2 orang anak.

PENDIDIKAN

Mula belajar di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil aliran Sanawi di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Di samping itu belajar agama, Bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973, tamat dengan B.A. (Syariah). Melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar ke peringkat M.A. (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya dalam masa 2 tahun (1974 - 1975).

POLITIK

Mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS kampung Rusila, Marang. Pada 1976, setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977 dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989 di pilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato' Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presiden PAS

PILIHANRAYA

Mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada tahun 1978 di DUN Marang dan kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan majoriti 68 undi. Pada tahun 1982 diamanahkan sekali lagi menjadi calon PAS di DUN Marang dan Parlimen Dungun. Menang di DUN Marang tetapi kalah di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar. Pada tahun 1986, bertanding DUN Rhu Rendang dan menang tetapi kalah di Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar. Pada tahun 1990 menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang. Begitu juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang.

ANTARABANGSA

Mula terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Aram Mesir. Sebagai pemimpin kanan PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat. Antaranya :

1. Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul Turki
2. Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan
3. Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran
4. Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr. Necmetin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat
5. Menyertai deligasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr. Erbakan
6. Menyertai deligasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk
7. Mengiringi Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor bersama deligasi pemimpin German Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin Afghanistan

KATA MUTIARA TOK GURU

"Pemimpin yang mementingkan kemewahan dunia, suka mengejar pangkat dan mengumpul harta tanpa mengambil berat tentang masalah dan usaha membangunkan umat Islam boleh merosakkan krediliti serta mengundang kebinasaan dan kemurkaan dari Allah SWT"

"Allah menetapkan tiga prinsip sebagai tanggungjawab manusia iaitu untuk beribadat, sebagai khalifah dan menunai amanah"

PANDANGAN TOKOH TERHADAP TOK GURU

Syaikh Said Hawa, tokoh gerakan Islam dunia
"Semasa menuntut di Universiti Madinah lagi, Haji Hadi yang didedahkan pemikiran Ikhwan secara serius sudah terserlah ketokohannya sebagai pemimpin ulama mu’tabar di rantau ini"

Prof Dr. Muhammad Al-Wakeel, Pensyarah Kanan Universiti Islam Madinah
"Haji Hadi mempunyai fikiran yang tajam dan menerima pengaruh Ikhwanul Muslimin secara langsung dan merupakan pelajar yang pintar yang mendapat perhatian daripada tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin"

Dr. Najmuddin Erbakan, Bekas Perdana Menteri Turki
"Kewibawaan Haji Hadi ada sedikit kelainan daripada tokoh-tokoh popular PAS yang terdahulu kerana kepopularitinya bukan sahaja dalam Parti, tapi di luar Parti sehingga ada di antara orang-orang yang bermusuh dengan PAS menyatakan, "Haji Hadi bercakap Benar...betul...baik"

Butros Ghali, Setiausaha Agong Badan Antarabangsa
"Haji Hadi adalah wakil rakyat dan ulama yang unik, hidupnya sederhana, rumahnya kayu kampung tanpa peralatan adalah cukup mewah baginya dan sekali sekala sanggup turun ke laut menjadi nelayan walaupun ketika itu masih menjadi Menteri Besar Terengganu"

Sumber : -1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Hadi_bin_Awang
2. Cinta Haji Hadi : Haji Mohammad Jusoh.


Sumber : al-bakistani



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi PAS Kawasan Johor Bahru. Semua artikel di sini adalah hak mutlak PAS Kawasan Johor Bahru, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Pas Kawasan Johor Bahru dan juga ehsan dari Google. PAS Kawasan Johor Bahru tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
© 1434 / 2013 Hakcipta Tak Terpelihara. Diselenggara oleh PAS Kawasan Johor Bahru.